Kuala Lumpur – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM)
masih menilai tawaran syarikat penerbangan Sweden, SAAB berhubung
pembelian 16 buah pesawat pejuang Gripen NG sebagai aset tambahan kepada
unit pertahanan udara negara.
Timbalan Presiden SAAB, Thomas Lindén berkata, perkembangan kerjasama
masih di peringkat awal dan TUDM sedang menilai tawaran bersama-sama
DRB-Hicom, selaku rakan kongsi tempatan.
“Dengan perkembangan semasa Malaysia berhubung pembentangan Rancangan
Malaysia Ke-11 (RMK-11), kami berharap urusan jual beli antara SAAB
dengan TUDM dapat direalisasikan melalui peruntukan dalam aset
ketenteraan bagi Kementerian Pertahanan.
“Pesawat pejuang Gripen NG yang sebelum ini pernah mengambil bahagian
dalam Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) telah
menerima maklum balas positif dan mewujudkan minat di semua peringkat,”
katanya kepada selepas menghadiri seminar Sistem Pertempuran Udara di
sini hari ini.
Seminar yang berlangsung selama dua jam tersebut disampaikan Ketua
Jurutera dan Pengurus Produk SAAB, Knut Övrebö di Dewan Bestari,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu turut dihadiri Naib
Canselor UPNM, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin.
Gripen NG dilengkapi sistem pertempuran dan pelancar peluru yang
canggih dan boleh ditempah mengikut spesifikasi dikehendaki serta
merupakan antara pesawat terawal yang memberi fokus kepada pertempuran
di medan udara.
Sementara itu, Duta Sweden ke Malaysia, Bengt Carlsson berkata,
syarikat Sweden telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi
Malaysia dan berharap kerjasama dengan negara ini dapat ditingkatkan
dalam bidang pertahanan pula pada masa akan datang. (JKGR)