ALOR SETAR:- Kerajaan disyorkan agar membekalkan pesawat rondaan maritim (MPA) bagi meningkatkan keupayaan Tentera Diraja Udara Malaysia (TUDM) dalam menjalankan rondaan serta misi mencari dan menyelamat (SAR) di lautan yang lebih luas pada masa depan.
Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Rodzali Daud berkata, pesawat Maritim Domain Awareness (MDA) yang dimiliki sekarang seperti Beechcraft King Air 200 hanya sesuai digunakan untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Jarak capaian pesawat ini tidak dapat sampai ke Lautan Hindi, kita hanya mampu untuk operasi di Selat Melaka dan Laut China Selatan.
“Kita harap kerajaan dapat membekalkan TUDM dengan MPA yang lebih sesuai pada masa depan kerana cabaran lebih besar akan ditempuh," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Sayap Penerbangan kepada 26 pegawai TUDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat di Kolej Tentera Udara, Kepala Batas di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Leftenan Mohd. Firdaus Awang Koding dianugerahkan Piala Panglima Pendidikan dan Latihan Udara (terbaik akademik), Kapten Ahmad Zulfikri Ahmad Kamal pula menerima Piala Komandan (terbaik penerbangan sayap kaku), manakala Kapten Hafizullah Mohd. Noor Mohd. Sallehhuddin menerima Piala Nuri (terbaik penerbangan sayap putar).
Menurut Rodzali, pihaknya mahu meningkatkan keupayaan bukan sahaja dari segi melakukan pencarian pada permukaan laut malah di bawah permukaan terutama dalam misi SAR pada masa depan.
“Buat masa sekarang apa yang kita ada masih kekurangan kalau dibandingkan dengan peralatan di luar sana. Pesawat C130 tidak dilengkapi dengan peralatan mencari di dasar laut.
“Sebagaimana kita tahu, apa yang diperlukan adalah mencari di bawah permukaan laut, lebih-lebih lagi dari segi elektronik dan akuastik," jelasnya.
Tambah beliau, misi SAR pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang di Lautan Hindi amat mencabar kerana jarak pencarian jauh iaitu 2,000 hingga 2,500 kilometer dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Australia (RAAF) Pearce, Perth, Australia.
“Sebanyak tiga pesawat C130 terlibat dalam misi SAR ini. Perjalanan pergi dan pulang mengambil masa lapan jam dan dua jam untuk mencari, semuanya berjalan baik dan kita berharap operasi ini selesai dengan jayanya," katanya.
Rodzali berkata, kehilangan pesawat MH370 itu memberi banyak pengajaran kepada semua pihak bagaimana untuk mentadbir situasi itu dengan baik.
“Kita belajar daripada apa yang jadi sekarang supaya bakal dilaksanakan lebih baik pada masa depan," jelasnya.
Sumber : Utusan